Dua ditahan gagal tunjuk dokumen pemilikan sah enjin bot.

Dua ditahan gagal tunjuk dokumen pemilikan sah enjin bot.

Lahad Datu: Dua lelaki tempatan ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu selepas gagal menunjukkan dokumen pemilikan sah enjin bot dalam dua operasi berasingan di kampung Lok Bikin, Pulau Sakar, di sini, semalam.

Kedua-dua suspek berusia lingkungan 45 tahun dan 52 tahun itu berjaya ditahan bersama enjin bot di rumah masing-masing hasil maklumat bahagian risikan PPM.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, tangkapan pertama dilakukan sepasukan pegawai dan anggota PPM seawal jam 6 pagi.

Katanya, hasil pemeriksaan di rumah pertama, pihaknya berjaya menemui sebuah enjin 15 kuasa kuda jenis Yamaha Enduro berwarna kelabu.

“Suspek bagaimanapun gagal menunjukkan dokumen yang sah terhadap pemilikan enjin berkenaan dan rampasan terus dilakukan bagi membantu siasatan.

“Tangkapan kedua dilakukan di sebuah rumah di kawasan sama yang berjaya menemui sebuah lagi enjin bot 40 kuasa kuda jenama Yamaha Enduro,”katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, pihaknya turut menemui resit asal pembelian enjin dan dua salinan resit yang dipercayai telah diubah di dalam rumah suspek kedua.

Katanya, jumlah semua barangan yang dirampas dianggarkan bernilai RM15,000 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Ordinan Kesalahan-kesalahan Kecil Negeri Sabah

“Kes diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah IPD Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya,”katanya.

Fardy Bungga
6 April 2020

End