Dua lelaki tempatan disyaki miliki syabu ditahan.

Lahad Datu: Dua lelaki tempatan berusia 36 dan 45 tahun berjaya ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di Laut Terumbu Gusung, di sini, semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, kedua-dua lelaki berkenaan ditahan ketika pihaknya menjalankan operasi Ops Covid-19.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua lelaki terbabit, PPM menemui dua bungkusan plastik lutsinar mengandungi hablur jernih yang disyaki syabu.

“Kedua-dua bungkusan berkenaan dianggarkan seberat 50 gram setiap satu bersama 20 gulung kepingan timah yang disembunyikan di dalam bag kecil milik suspek.

“Pemeriksaan lanjut turut menjumpai satu bungkus plastik mengandungi sarang burung, alat penimbang dan barang-barang peribadi milik suspek,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, pihaknya turut merampas bot dan enjin jenama Yamaha yang digunakan suspek untuk membantu siasatan lanjut.

Katanya, hasil keseluruhan rampasan dalam operasi kali ini dianggarkan bernilai RM 21,130 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Kedua-dua tangkapan dan barang-barang rampasan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bersama Seksyen 23 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1998,”katanya.

Mohamad Pajeri berkata, pihaknya turut menyiasat kedua suspek mengikut Seksyen 25(1)(N) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 serta Enakmen Pemulihan Hidupan Liar 1997.

Fardy Bungga
6 April 2020

End