Digalakkan derma darah sepanjang tempoh PKP

Kota Kinabalu: Masyarakat digalakkan supaya tidak ragu-ragu menderma darah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, para penderma darah diperlukan kerana terdapat kes-kes kecemasan dan pesakit Talasemia yang sentiasa memerlukan bekalan darah.

“Kami faham ada kerisauan bagi mereka yang biasa menderma darah untuk datang ke hospital kerana mereka tidak mahu bercampur dengan pesakit-pesakit di hospital.

“Para penderma boleh datang sendiri ke tabung darah atau mengikuti program derma darah yang dianjurkan seperti antaranya Persatuan Bulan Sabit Merah dan badan-badan bukan kerajaan (NGO),”katanya.

KETERANGAN GAMBAR: KENANGAN…Panglima 5 Divisien, Leftenan Jeneral Datuk Hafizuddeain Jantan (kanan), Christina (kiri) dan Zaini (dua dari kanan) merakamkan gambar kenangan bersama Tun Juhar (tengah) dan Toh Puan Norlidah.

Dr Chritina berkata demikian semasa ditemui media selepas menghadiri majlis penyampaian sumbangan peralatan daripada Yayasan Tun Juhar, pagi tadi.

Pada majlis berkenaan, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menerima sumbangan 150 keping penutup mulut tiga lapis, 34 ribu penutup hidung N95 dan 1,000 pasang baju pelindung PPE.

Turut menerima sumbangan adalah pasukan barisan hadapan yang lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), masing-masing menerima 20 ribu keping penutup hidung tiga lapis.

Sumbangan disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri Toh Puan Norlidah R.M. Jasni di Istana Negeri.

Dalam pada itu, Pengerusi Yayasan Nur Jauhar (YNJ), Kolonel Al Hambra Juhar berharap sumbangan yang disampaikan mampu menangani masalah kekurangan bekalan penutup muka yang dihadapi oleh petugas barisan hadapan.

Katanya, YNJ juga sedang giat memberi sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan melalui kerjasama Pejabat Daerah dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.

6 April 2020

Digalakkan derma darah sepanjang tempoh PKP

By: FARDY BUNGGA