Polis berjaya lumpuhkan sindiket curi bateri pencawang telekomunikasi.

 

Kota Kinabalu: Empat lelaki berjaya diberkas bersama 56 bateri pencawang milik sebuah syarikat telekomunikasi bernilai RM125,000 yang dipercayai dicuri dari pencawang di sekitar daerah ini.

Empat individu yang ditahan termasuk ketua sindiket yang dikenali sebagai Bobby dan dikatakan pernah bekerja sebagai juruteknik pencawang telekomunikasi di Rawang, Selangor tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Manjinji berkata, sebaik menerima laporan, sepasukan polis yang menjalankan siasatan berjaya menahan suspek pertama di sebuah rumah di Telipok Ria, Tuaran.

Katanya, hasil daripada tangkapan pertama, seorang lagi lelaki warga tempatan berjaya ditahan dan merampas 16 lagi bateri pencawang telekomunikasi di rumahnya.

“Susulan daripada soal siasat yang dijalankan, dua lagi individu berjaya ditahan sebelum membawa kepada penemuan baki keseluruhan bateri pencawang yang dilaporkan hilang.

“Semua individu yang ditahan berusia 25 hingga 36 tahun dan empat kenderaan termasuk dua pacuan empat roda sebuah kereta sedan yang dipercayai digunakan kegiatan sindiket berkenaan disita,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Habibi berkata, polis percaya kumpulan penjenayah ini mengambil kesempatan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan untuk menjalankan kegiatan mereka selain kebanyakan pencawang terletak di kawasan terpencil.

Katanya, semua suspek kini direman selama lima hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman tujuh tahun penjara dan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, berhubung penguatkuasaan PKP, Habibi berkata, setakat ini seramai 16 individu termasuk seorang wanita sudah didakwa di Mahkamah.

Katanya, semua individu ini dituduh mengikut Seksyen 26(3) Akta Polis dan Seksyen 22 Akta Penyakit Berjangkit.

“Semua individu yang didakwa termasuk seorang lelaki berusia 27 tahun yang merempuh sekatan jalan di Kolombong, baharu-baharu ini.

“Suspek mengaku bertindak melanggar sekatan jalan berkenaan kerana terpaksa bergegas untuk meminjam wang daripada rakannya,”katanya.

Tamat

7 April 2020

Polis berjaya lumpuhkan sindiket curi bateri pencawang telekomunikasi.

By: Fardy Bungga