Suspek pecah masuk restoran makanan segera ditahan.

Kota Kinabalu: Seorang lelaki yang memecah masuk sebuah restoran makanan segera di Plaza Juta, di sini, berjaya ditahan pihak berkuasa, Ahad lalu.

Suspek ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang melakukan serbuan ke sebuah rumah di Kampung Bakau, Likas, jam 7.30 pagi.

Lelaki berusia 21 tahun itu dikatakan memecah masuk premis berkenaan 2 April lalu, dan dilaporkan berhasil melarikan beberapa barangan bernilai termasuk sebuah motosikal.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Kimisioner Habibi Majinji berkata, kejadian pecah masuk itu disedari pengurus restoran yang mendapati pintu kaca bahagian hadapan restorannya dipecahkan.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati beberapa aset restoran hilang antaranya televisyen, telefon, dua mesin juruwang dan sebuah motosikal milik restoran berkenaan.

“Anggaran kos kerugian dianggarkan bernilai RM14,581 dan satu laporan dibuat oleh pengadu mengenai kejadian berkenaan.

“Bertindak atas maklumat dan siasatan, polis berjaya menjejaki suspek sebelum berjaya menahannya ,” katanya dalam sidang media di IPD Kota Kinabalu, hari ini.

Habibi berkata, hasil soal siasat yang dijalankan, suspek menyerahkan semula barangan yang dicuri serta beberapa peralatan yang digunakan untuk memecah masuk premis berkenaan.

“Modus operandi suspek adalah dengan memecahkan pintu dan dinding kaca sebelum masuk ke dalam premis.

“Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai kes jenayah lampau membabitkan jenayah narkotik dan jenayah pencerobohan,”katanya.

Habibi berkata, Kes disiasat mengikut Seksyen 379A / Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

End

Suspek pecah masuk restoran makanan segera ditahan.

By: Fardy Bungga