Ingkar PKP dan Miliki Pistol Tiruan

By: Fardy Bungga

KOTA KINABALU: Dua lelaki yang ditahan dalam sekatan jalan raya Op Covid-19 di Jalan Sulaman, di sini, bukan saja mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malah turut didapati memiliki sepucuk pistol tiruan.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, kedua-dua lelaki berusia 19 dan 25 tahun yang menaiki Perodua Kancil itu mendakwa keluar bersama dengan alasan mahu menghantar makanan kepada ahli keluarga lain.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut di but kereta berkenaan membawa kepada penemuan sepucuk pistol tiruan jenama Glock.

Pistol tiruan jenama Glock yang ditemui di but kereta suspek. (Pix Polis)

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati mereka dalam perjalanan pulang dari rumah keluarga salah seorang suspek.

Bagaimanapun katanya, mereka ditahan selepas pemeriksaan di bahagian but kereta yang dinaiki mempunyai sepucuk pistol tiruan.

“Hasil soal siasat, salah seorang suspek mengaku membeli senjata tiruan itu di sebuah kompleks beli belah di daerah ini tahun lalu.

“Kedua-dua suspek kemudiannya ditahan untuk membantu siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, salah seorang daripada suspek turut didapati mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan narkotik.

“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan 2020),” katanya.

tamat