Kampung Salung, Nabawan, Dilanda Banjir Kilat

By Fardy Bungga

 

Nabawan: Seramai 62 penduduk Kampung Salung, di sini, terjejas selepas perkampungan mereka dilanda banjir kilat sejak jam 5 pagi tadi.

Difahamkan, air mula naik sehingga mencecah hampir tiga meter ekoran hujan lebat yang melanda daerah itu sejak petang semalam.

Pegawai Daerah Nabawan Virus Malitam berkata, setakat ini terdapat lapan rumah yang terjejas namun tiada pemindahan dilakukan.

Namun katanya, pihak pejabat daerah akan mengusahakan bantuan kebajikan kepada semua mangsa-mangsa yang terbabit.

Penduduk yang terjejas cuba menyelamatkan harta benda yang tenggelam akibat banjir kilat. (Ihsan Pembaca)

“Pejabat Daerah sudah melancarkan kerjasama dengan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk membantu penduduk yang terjejas.

“Selain itu, Pejabat Daerah juga bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Am Daerah Nabawan, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk sebarang tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Virus berkata, setakat ini tiada pemindahan dilakukan namun Pejabat Daerah akan terus memantau keadaan cuaca di kampung berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

Pasukan Keselamatan yang hadir dilokasi menjalankan operasi membantu penduduk terjejas. (Ihsan Pembaca)

Katanya, setakat ini, pihaknya sudah mengenalpasti pusat pemindahan di Gereja SIB, Kampung Sabuluh yang mempunyai kapasiti 40 orang sekiranya diperlukan.

“Setakat ini, mengikut rekod mangsa yang terlibat dalam insiden banjir kilat kali ini membabitkan 21 lelaki dan 22 perempuan dewasa serta 19 kanak-kanak.

Kira-kira lapan rumah di Kampung Salung, di sini, terjejas ekoran hujan lebat sejak petang semalam. (Ihsan Pembaca)

“Pihak APM juga memaklumkan mereka sudah mengambil maklumat daripada mangsa yang terjejas dan memberi khidmat nasihat supaya penduduk naik ke tempat lebih tinggi bagi mengelakkan sebarang kemungkinan risiko sekiranya cuaca kembali hujan.

tamat