Pakej Prihatin Tambahan Suntikan Motivasi Kepada PKS.

KOTA KINABALU: Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Tambahan) bernilai RM10 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin, disifatkan sebagai suntikan​ motivasi kepada para penggiat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)​ khususnya di Sabah.

Sambil menyambut baik pengumuman tersebut, rata-rata PKS Sabah yang dihubungi Bernama berkata pakej itu turut membantu​ meringankan beban kewangan penggiat sektor selain​ mengekalkan momentum perniagaan PKS selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Presiden Usahawan Wanita Sabah (IKSNITA) Datuk Dayang Khatijah Datu Bachtiyal berkata pakej PRIHATIN Tambahan itu juga membuktikan keprihatinan kerajaan memastikan pengembangan positif dan daya tahan sektor berkenaan di masa depan.

Menurutnya, bantuan seperti geran khas RM3,000 untuk setiap syarikat mikro,​ kadar faedah sifar peratus untuk Skim Kredit Mikro​ serta program subsidi upah melegakan ramai PKS khususnya usahawan mikro untuk terus bertahan​ dalam tempoh mencabar.

“Bagaimanapun, penyampaian bantuan kepada kumpulan (usahawan) sasaran mesti​ dilakukan secara lebih efektif bagi membolehkan mereka menikmati​ manfaat ini,” katanya.

IKSNITA mempunyai 1,890 usahawan berdaftar dari seluruh Sabah.

Sementara itu, usahawan muda Azizul Julirin yang berkecimpung dalam bidang pertanian dan agro makanan berkata​ pakej PRIHATIN Tambahan itu membantu PKS dari segi persiapan memulakan​ semula perniagaan selepas PKP tamat.

Namun, pemberian bantuan geran khas RM3,000 tidak merangkumi semua kumpulan usahawan PKS kerana terhad kepada PKS pembayar cukai dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurutnya, ramai usahawan PKS pertanian berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) namun tidak berdaftar dengan LHDN kerana pendapatan belum layak dikenakan cukai.

“Ini​ akan menyebabkan beberapa usahawan PKS pertanian ini tidak layak menerima bantuan geran itu.​ Cadangan saya agar bantuan geran ini disalurkan melalui agensi seperti Jabatan Pertanian, Pertubuhan Peladang Kawasan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan agensi lain di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan peringkat pusat atau negeri,” katanya.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Pembangunan Usahawan Bumiputera Sandakan​ Zulkifli Joseph Teo berkata pakej tambahan itu mampu meringankan beban kos operasi PKS.

Namun, katanya,​ kerajaan melalui Kementerian Kewangan perlu melonggarkan syarat pinjaman melalui mekanisme​ pengenalan sistem penilaian kredit yang lebih mesra.

“Soal syarat pinjaman perlu diberi pertimbangan sewajarnya khususnya PKS yang mengalami masalah tunggakan hutang dan telah disenaraihitam. Mereka​ memerlukan suntikan modal untuk terus bertahan dalam tempoh paling kurang enam bulan akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Industri Kecil dan Sederhana Wanita Sandakan (Sisnita) Hanna Marsha Harijul pula meminta lebih 100 ahli persatuan itu agar memanfaatkan bantuan kerajaan itu bagi meringankan beban mereka.

— BERNAMA