Penagih Ditahan Langgar PKP Dan Miliki Dadah

Tiga lelaki berusia 25 hingga 28 tahun ditahan selepas didapati miliki dadah jenis syabu

Oleh: Fardy Bungga

Tuaran: Tiga lelaki yang melanggar penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditahan selepas didapati memiliki satu paket plastik berisi ketulan hablur disyaki syabu, semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 25 hingga 28 tahun itu yang diperiksa selepas ditemui melepak di tepi Sungai Kampung Laya-Laya, di sini, turut didapati positif dadah.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, semasa menjalankan OPS Pintas Khas Covid-19, polis terserempak dengan tiga orang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut pada kereta Proton Saga yang dinaiki mereka kemudiannya menemui satu paket lutsinar yang berisi ketulan hablur disyaki dadah jenis syabu.

“Polis kemudiannya menahan ketiga-tiga suspek dan merampas dadah tersebut. Hasil ujian saringan air kencing terhadap ketiga-tiga suspek didapati positif dadah jenis Methaphetamine.

“Mereka ditahan untuk siasatan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No.2) 2020,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Mohd Hamizi berkata, ketiga-tiga suspek turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta 15(1) akta yang sama.

Sementara itu, Mohd Hamizi menasihati orang ramai supaya sentiasa berada di rumah dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Katanya, para ibu bapa dinasihatkan untuk memantau pergerakan ahli keluarga masing-masing.

“Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan dan kesihatan diri,”katanya.

Tamat.