Tindakan keras terhadap individu ingkar di Pasar Safma.

7 April 2020

By: Fardy Bungga
Pix Lo Teck Loong

Kota Kinabalu: Polis akan mengambil tindakan terhadap orang perseorangan yang dikenalpasti masih berdegil membeli keperluan bahan basah di Kompleks Perikanan SAFMA Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pasar Safma ketika ini hanya dibuka untuk pemborong ikan secara pukal melakukan aktiviti harian.

Katanya, arahan berkenaan berkuatkuasa serta merta pada hari ini dan masyarakat digesa supaya mematuhinya selaras dengan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya tekankan, tiada lagi orang perseorangan atau pemborong kecil dibenarkan untuk membeli ikan di SAFMA.

“Ini amat ditekankan bagi tujuan untuk kita memutuskan penularan wabak Covid-19 ini, “katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengiringi Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass melakukan tinjauan di Kompleks Perikanan SAFMA Kota Kinabalu.

Habibi berkata, pihaknya akan memantau rapat setiap aktiviti di kawasan berkenaan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan sebarang kesesakan di kompleks berkenaan.

Sementara itu, Kerajaan Negeri Sabah menerusi Setiausaha Kerajaan Negerinya, Datuk Safar Untong turut membuat kenyataan mengenai aktiviti menjaja ikan di kawasan tumpuan itu dihentikan serta merta sepanjang pelaksanaan PKP.

Ini berikutan terdapat aduan mengenai keadaan sesak di kompleks berkenaan hampir setiap hari.

Untuk rekod, Kompleks Perikanan SAFMA Kota Kinabalu sering menjadi tarikan umum yang datang untuk membeli ikan atau makanan laut segar seawal 4 jam pagi.

tamat.