16 Individu Langgar PKP Dihadapkan Ke Mahkamah.

Fardy Bungga

asiatimeskk@gmail.com

KOTA KINABALU: Seramai 16 individu termasuk tiga wanita yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan melakukan pelbagai kesalahan termasuk berjogging dan berkaraoke di pusat hiburan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Semua tertuduh berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun itu bagaimanapun, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret, Lovely Natasha Charles.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM500 hingga RM1,000 atau penjara jika gagal bayar serta mengenakan Perintah Kehadiran Wajib selama empat bulan atau penjara jika gagal mengikuti perintah berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, semua individu itu  didapati melanggar PKP dan gagal memberikan sebab munasabah ketika ditahan.

Semua individu terbabit ditahan dalam operasi rondaan yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2 April lalu hingga semalam, di beberapa lokasi di sekitar daerah ini.

Mereka didakwa gagal mematuhi PKP dengan bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam mana-mana tempat jangkitan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)  2020.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda RM1,000 atau kedua-duanya.

Semua tertuduh dikenali sebagai Elisen Abdul Rasan, Harfan Haryadie, Yusof Hassan, Rahmdan Abdul Aziz, Faizal Halim, Kong Kai Hung, Chiew Ken Hau, Jacob Arthur Kimlon, Jeshua leong Chee Peng, Mohd Akhbar Busra, Roneal Sundang dan Syariful Nizam Jamrang serta Jeremiah Charles Barero.

Manakala tiga lagi wanita dikenali sebagai Rahmah Jack, Siti Aisah Mohd Osman dan Sazuandy Paunil.

Terdahulu dalam sesi pertuduhan itu, Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam.

Bagaimanapun, dalam rayuan, beberapa tertuduh yang diwakili peguam Lim Ming Zoong dan peguam Ram Singh memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana ada antara mereka sudah berkahwin, mempunyai anak, dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Tamat