Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Bantu Penduduk Pulau Balambangan, Kudat.

Fardy Bungga

KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan berkerjasama dengan Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah (PSUP) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) menghulurkan bantuan makanan kepada penduduk di Pulau Balambangan, semalam.

Bantuan disampaikan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Samsuni Mohd Nor dan diiringi Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan, Laksamana Pertama (M) Mohd Rosli Abdullah.

Mohd Rosli berkata, program bersama ini dilaksanakan kerana memahami kesukaran penduduk di pulau berkenaan untuk mendapatkan bekalan makanan dari Kudat terutamanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Katanya, selain itu perjalanan dari Pulau Balambangan ke Kudat juga agak jauh kerana ia mengambil masa lebih kurang satu jam.

“Sumbangan makanan seperti beras, telur, kopi, gula dan keperluan makanan yang lain ini diagihkan kepada 82 keluarga di pulau berkenaan.

“Maritim Malaysia, PSUP dan MPKK tidak lupa akan nasib mereka yang sukar mendapatkan bekalan makanan terutamanya dalam tempoh PKP ini,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Mohd Rosli berkata, sumbangan ini juga sebagai menghargai kerjasama yang diberikan komuniti maritim khususnya penduduk di Pulau Balambangan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan komuniti maritim untuk sentiasa berada di rumah, menjaga kebersihan dan mengikut arahan semasa kerajaan.

“Ini adalah usaha bersama- sama untuk menghapuskan rantaian virus pendemik ini supaya negara kita kembali pulih seperti sebelum ini,”katanya.

Sementara itu, wakil penduduk Pulau Balambangan Azmi Kaba memberitahu, pergerakan penduduk kampung di pulau itu amat terhad.

Katanya, mereka sukar untuk ke tanah besar bagi mendapatkan bekalan makanan ekoran kebanyakan kedai tutup selain waktu operasi kedai juga terhad.

“Kami amat berterima kasih kepada Maritim Malaysia dan Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah serta MPKK kerana bantuan ini sedikit sebanyak meringan beban penduduk di pulau ini,”katanya.

Tamat