Hanya Pemborong Dibenarkan Masuk Pasar Safma – DBKK

Fardy Bungga
asiatimeskk@gmail.com

Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menjalankan ‘Operasi Bersepadu SAFMA’ bagi memastikan hanya pemborong saja dibenarkan keluar masuk ke pusat berkenaan.

Operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pelbagai agensi selama tiga jam bermula jam 4 pagi itu juga bertujuan memantau penjaja haram di kawasan Pasar Besar Kota Kinabalu.

Pengarah Jabatan Pelesenan DBKK, Sairullizam Sukor berkata, berdasarkan pemantauan yang dijalankan keadaan di pasar amat terkawal.

Katanya, setakat ini pihaknya juga mendapati tiada kegiatan penjaja haram di kawasan berkenaan.

“Operasi ini bertujuan untuk memantau penjaja di dalam Pasar Safma, penjaja haram di kawasan Pasar Besar Kota Kinabalu.

“Kita juga memantau laluan keluar dan masuk SAFMA untuk memastikan hanya pemborong saja dibenarkan masuk ke dalam SAFMA,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sairullizam berkata, DBKK akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus diamalkan.

“DBKK mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat,”katanya.

Tamat