Maritim Malaysia Sumbang 30 Pain Bekalan Darah.

Fardy Bungga

asiatimeskk@gmail.com

KOTA KINABALU: Walaupun terpaksa menggalas tugas sebagai barisan hadapan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, namun Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tetap tidak ketinggalan menyumbang bakti untuk menderma darah.

Pengarahnya, Laksamana Pertama (M), Mohd Rosli Abdullah berkata, program derma darah itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab Maritim Malaysia untuk membantu menangani isu kekurangan bekalan darah di negeri ini.

Katanya, langkah itu juga salah satu tanggungjawab sosial pihaknya terhadap komuniti atau rakyat secara keseluruhan terutamanya ketika pelaksanaan PKP.

“Disamping kita menjalankan tugas sebagai barisan hadapan, kita juga membantu dalam isu kekurangan bekalan darah di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Derma Darah di Pejabat APMM Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Mohd Rosli berkata, program derma darah itu juga dilihat sangat diperlukan memandangkan isu pandemik Covid-19 ketika ini menyukarkan ramai pihak untuk tampil menderma darah.

“Program ini dijalankan untuk menambah bekalan darah khususnya di Sabah. Ia juga sekaligus membantu Kementerian Kesihatan dalam usaha menangani isu wabak Covid-19.

“Kita percaya program seperti ini amat bermanfaat dalam kita memastikan bekalan darah negara sentiasa berada pada paras mencukupi,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rosli memberitahu, pada program berkenaan, seramai 30 anggota dan pegawai APMM Sabah tampil menderma 30 pain darah kepada Hospital Queen Elizabeth (HQE).

“Kita akan terus melaksanakan program ini bukan saja di Kota Kinabalu, malah seluruh pejabat Maritim di Sabah dan juga Labuan,” katanya.

tamat