Aktiviti Pasar Inanam Terjejas

Fardy Bungga

asiatimeskk@gmail.com

Kota Kinabalu: Peniaga Pasar Inanam, di sini, tetap meneruskan aktiviti seperti biasa di sebalik perasaan bimbang susulan pandemik wabak Covid-19 yang menular seluruh negara sejak awal tahun ini.

Tinjauan Asia Times mendapati, walaupun aktiviti perniagaan sedikit terjejas, namun ia masih berjalan seperti biasa.

Rata-rata orang ramai masih keluar untuk mendapatkan barang keperluan dengan menuruti arahan menggunakan topeng muka dan mengamalkan jarak sosial untuk keselamatan diri masing-masing.

Peniaga di Pasar ini, Ellsy Lo, 36, ketika ditemui berkata, perniagaan gerai menjual bahan makanan yang diusahakannya sememangnya terjejas berbanding sebelum arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Katanya, jumlah pelanggan yang datang lebih kecil walaupun semua peniaga di pasar berkenaan beroperasi seperti biasa.

Ellsy Lo

“Sebab itu, secara tidak langsung persaingan untuk mendapatkan pelanggan lebih tinggi berbanding sebelum ini.

“Bukan itu saja, bekalan juga sedikit terjejas terutamanya sayur-sayuran dan bahan makanan dari daerah Ranau, Tambunan dan Keningau,”katanya ketika ditemui di Pasar Inanam, hari ini.

Ellsy berkata, persaingan menjadi semakin sukar apabila wujud banyak pihak yang membuat perniagaan secara ‘Cash On Delivery’ (COD) ke rumah-rumah.

Seorang lagi peniaga di Pasar Inanam, Noraineh Sian, 52, berkata, ini adalah pengalaman kali pertama sejak berniaga di pasar berkenaan sejak 20 tahun lalu.

Katanya, perniagaan ketika ini lembab dan pelanggan yang datang juga sedikit selain masa operasi dipendekkan.

Noraineh Sian

“Kita semua berharap, masalah Covid-19 ini akan selesai dalam masa segera dan operasi perniagaan pasar ini berjalan lancar seperti sediakala,”katanya.

Sementara itu, salah seorang pengguna yang ditemui Rolander Dwight, 31, berkata, dia datang ke pasar itu untuk membeli bahan makanan dan keperluan keluarganya di rumah.

Katanya, banyak bahan makanan terutamanya sayur-sayuran kampung sukar dibeli kerana tiada bekalan dari daerah luar bandar.

Tamat