BEKALAN IKAN NEGARA MENCUKUPI


Kuantan: Stok bekalan ikan negara adalah mencukupi dan konsisten dengan bekalan melebihi permintaan, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Beliau berkata kedudukan semasa stok bekalan ikan dan hasil laut dalam negara berjumlah 185,000 tan metrik sebulan berbanding dengan keperluan semasa sebanyak 155,000 tan metrik sebulan.

Sehubungan itu, katanya masalah kekurangan bekalan ikan tidak timbul kerana kebenaran telah diberikan kepada nelayan dan keseluruhan rantaian perbekalannya untuk beroperasi seperti biasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Harga ikan di pasaran adalah stabil dan tidak berlaku peningkatan ketara selain kementerian telah mewujudkan pasukan khas bagi memantau isu berkaitan bekalan, harga dan pasaran bahan makanan termasuk hasil laut, katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuantan di sini, hari ini. 

Bagi memudahkan pengguna membeli hasil laut, beliau berkata sebanyak 36 persatuan nelayan di seluruh negara telah menjalankan pemasaran secara terus kepada pengguna.

Che Abdullah menyifatkan Kompleks LKIM Kuantan sebagai pusat kegiatan ekonomi setempat yang produktif dan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti jeti pendaratan, ruang lelong, pasar borong dan tapak pemprosesan. 

“Saya difahamkan hasil laut di sini bukan hanya dipasarkan di Pahang, tetapi turut dibeli oleh pemborong untuk jualan di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Kelantan,” katanya. 

— BERNAMA