Dua Pemilik Kedai Runcit Ingkar PKP Ditahan.

Fardy Bungga

asiatimeskk@gmail.com

Penampang: Ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua pemilik kedai runcit ditahan kerana beroperasi selepas waktu dibenarkan tanpa alasan munasabah, di Jalan Meruntun Tombovo, Putatan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, kedua-dua suspek lelaki berusia 27 dan 44 tahun ditahan sepasukan polis yang melakukan rondaan pemantauan PKP Op Covid, di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, dalam operasi itu, pasukan polis yang menjalankan rondaan mengesan dua premis runcit masih beroperasi.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemilik kedua-dua kedai itu berada di dalam kedai gagal mengemukakan alasan yang munasabah untuk tidak menutup premis mengikut masa yang sepatutnya tepat jam 6 petang.

“Turut ditahan seorang pengunjung premis berkenaan berusia 44 tahun kerana ingkar PKP,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, kedua-dua pemilik dan seorang pengunjung lelaki itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 269 Kanun KeseksaanSeksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan sebarang perbuatan yang dilakukan menyebabkan merebaknya penyakit yang membahayakan kepada nyawa.

“Selain itu, siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Haris mengingatkan orang ramai khususnya di daerah ini supaya mematuhi arahan PKP dan polis tidak akan berkompromi kepada sesiapa yang ingkar arahan berkenaan.

tamat