KEDAI PERKAKASAN DIBENAR BEROPERASI DUA KALI SEMINGGU

KOTA KINABALU: Waktu operasi kedai perkakasan di beberapa daerah di Sabah hanya dibenarkan beroperasi dua kali seminggu iaitu pada hari Selasa dan Khamis bermula 9 pagi hingga 3 petang.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong dalam satu kenyataan hari ini berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan menentukan kedai yang dibenarkan beroperasi di daerah masing-masing.

Beliau berkata hanya tiga kedai akan beroperasi bagi daerah Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Keningau, Lahad Datu, Penampang, Tuaran, Beaufort, Ranau, Papar, Sipitang, Tenom dan Kudat.

“Sementara daerah lain, hanya dua kedai perkakasan yang dibenarkan beroperasi. Bagi mematuhi peraturan yang ditetapkan, PBT akan menguatkuasakan pematuhan tatacara operasi perniagaan,” katanya.

Safar berkata antara peraturan itu ialah jarakan sosial satu meter, mengehadkan jumlah pelanggan pada satu-satu masa, tempoh masa berada di premis, penetapan satu pintu/laluan masuk dan satu pintu/laluan keluar, pengimbasan suhu badan dan mewajibkan pemakaian penutup hidung dan muka serta penggunaan cecair pembasmi kuman kepada pelanggan dan pekerja.

— BERNAMA