KERAJAAN NEGERI TERIMA TIGA JUTA TOPENG MUKA.

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri Sabah menerima tiga juta helai topeng muka untuk kegunaan isi rumah di seluruh negeri, hari ini.

Topeng muka yang diterbangkan khas dari Kuala Lumpur menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira jam 11 pagi tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong dalam satu kenyataan hari ini berkata, bekalan topeng muka itu adalah bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.

Katanya, pengagihan kepada semua isi rumah akan diselaraskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) berdasarkan statistik terkini yang dibekalkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Setiap isi rumah akan memperolehi empat (4) helai face masks untuk kegunaan ahli keluarga yang mempunyai simptom seperti batuk, selsema dan demam.

“Kerajaan Negeri ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan TUDM yang menyelaras penerbangan khas bagi tujuan ini,” katanya.

 

Safar berkata, penghargaan juga diberikan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang memberi bantuan logistik bagi memastikan kelancaran pengagihan bantuan berkenaan kepada rakyat.

Tamat