BANGKAI GAJAH BORNEO DITEMUI

Fardy Bungga

asiatimeskk@gmail.com

LAHAD DATU: Bangkai gajah Borneo dianggarkan berusia lingkungan lima hingga 10 tahun ditemui mati, berhampiran Hutan Simpan Malua, dekat sini, baru-baru ini.

Gajah malang itu dipercayai mati akibat keracunan berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap bangkai haiwan berkenaan.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga berkata, proses bedah siasat ke atas bangkai gajah itu dilakukan tiga hari lalu.

Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan gajah berkenaan mati akibat keracunan.

“Pemeriksaan awal, mendapati gajah itu tidak mempunyai sebarang kesan kecederaan di luar badan.

“Namun mengikut laporan bedah siasat, gajah itu mengalami pendarahan pada limpa dan ginjal termasuk ulser,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun Agustine berkata, pihaknya masih menunggu keputusan makmal berhubung punca kematian sebenar gajah itu.

Sementara itu, Augustine berkata tiga pusat yang menempatkan hidupan liar di Sabah masih beroperasi seperti biasa.

Namun katanya, tiada pelawat dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

”Setakat ini, bekalan makanan untuk semua haiwan di pusat hidupan liar juga masih mencukupi,”katanya.

Tiga pusat berkenaan ialah Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok dan Bornean Elephant Sanctuary.

Tamat