Penduduk Pulau Gaya Lebih Berhati-Hati.

Fardy Bungga

asiatimeskk@gmail.com

KOTA KINABALU: Penduduk di Pulau Pondo, Pulau Gaya, di sini, lebih ‘berhati-hati’ selepas berita mengenai mayat lelaki yang ditemui tergantung di pokok di kawasan kampung berkenaan, 6 April lalu, disahkan positif.

Tinjauan mendapati penduduk yang tinggal berhampiran kawasan mayat berkenaan ditemui rata-rata memilih untuk berada di dalam rumah bersama ahli keluarga masing-masing.

Seorang penduduk dikenali sebagai Rodey Toleh, 32, berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, dia bersama isteri dan tiga anaknya jarang untuk keluar kecuali untuk mendapatkan bekalan makanan.

Katanya, mereka sentiasa berjaga-jaga kerana risau akan terdedah kepada virus Covid-19 yang menjadi igauan seluruh dunia.

“Sebaik kami mendapat maklumat berhubung mayat yang disahkan positif Covid-19, kami menjadi semakin risau dan lebih berhati-hati.

“Saya dan keluarga serta jiran mengambil langkah berjaga-jaga kerana khuatir dijangkiti wabak Covid-19,” katanya ketika ditemui,” hari ini.

Rodey berkata, dia mengetahui kejadian lelaki membunuh diri berkenaan daripada salah seorang jirannya.

“Kami tidak mengenali lelaki itu dan tidak tahu mengapa dia gantung diri,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Jamali Husan, 40, berkata, dia bersama seorang anak lelaki kerap berada di dalam rumah kerana bimbang diambil tindakan sekiranya melanggar arahan PKP.

Saya hanya keluar pada sebelah pagi untuk memunggah ikan di pasar (Pasar Besar Kota Kinabalu). Selepas selesai saya pulang ke rumah dan berehat.

“Itupun jika ada kerja untuk memunggah ikan. Jika tidak saya bersama anak saya hanya berada dalam rumah,” katanya.

Dalam kejadian 8.26 pagi, 6 April lalu, seorang lelaki tanpa identiti dipercayai warga asing, ditemui tergantung di pokok di kawasan Kampung Pondo, Pulau Gaya sebelum bedah siasat mengesahkannya positif COVID-19.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji dalam sidang media, semalam, memberitahu, 12 anggota polis yang melakukan tugas mengangkat mayat terbabit diarah untuk kuarantin diri di rumah masing-masing.

Katanya, penduduk di sekitar Pulau Gaya juga diminta supaya mengikuti arahan PKP sepenuhnya bagi mengelak penularan wabak Covid-19 ini.

Tamat