MEKANIK JADIKAN BENGKEL MOTOSIKAL SEBAGAI SARANG DADAH

KANGAR: Taktik berselindung di sebalik perusahaan bengkel motosikal di  Kampung Permatang Keriang, Kuala Sanglang dekat sini bagi mengaburi mata polis ternyata gagal apabila aktiviti pengedaran dadah itu ditumpaskan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, DSP Mohd Anuar Jusoh berkata pihaknya menahan seorang pengedar dadah dan seorang pembeli dadah masing-masing berusia 31 dan 28 tahun sedang membuat urus niaga dadah kira-kira pukul 5.40 petang semalam.

“Hasil serbuan polis,  menjumpai satu paket plastik berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 51 gram dan wang tunai berjumlah RM1,159.00 di ruang pejabat bengkel berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, daripada siasatan awal lelaki berusia 31 tahun itu, yang juga seorang mekanik motosikal itu adalah pengedar dadah di kawasan berkenaan yang aktif menggunakan ruangan pejabatnya sebagai tempat memproses dadah yang diambil dari luar.

“Hasil ujian kencing yang dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar mendapati bahawa kedua-dua  suspek positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.

Mohd Anuar berkata suspek berusia 31 tahun itu mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dengan dadah. 

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini.

— BERNAMA