PASAR BESAR KOTA KINABALU AKAN DILENGKAP TEROWONG SANITASI- DBKK.


Fardy Bungga

asiatimeskk@gmail.com

Kota Kinabalu: Pasar Besar Kota Kinabalu akan dilengkapi dengan terowong sanitasi dalam usaha untuk mengawal penularan wabak Covid-19, di daerah ini.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman berkata, terowong sanitasi itu akan dipasang di kawasan tumpuan termasuk pintu utama pasar besar berkenaan untuk pengunjung dan peniaga.

Katanya, DBKK juga sudah menetapkan pembinaan terowong sanitasi otomatik di pintu masuk jeti pengangkutan bot untuk penduduk Pulau Gaya.

“Selain di jeti dan beberapa lagi kawasan di pasar besar ini, DBKK juga akan memasang terowong sanitasi di pasar Inanam dan Manggatal.

“Kita juga mengarahkan anggota DBKK yang bertugas supaya terus memantau keadaan semasa di lokasi utama ini sepanjang masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat lawatan kerja di Pasar Besar Kota Kinabalu, hari ini.

Nordin berkata, DBKK berharap orang ramai akan terus mematuhi arahan Penjarakkan Sosial dan memakai topeng muka serta sarung tangan ketika berada di pasar berkenaan.

Katanya, pihak DBKK juga akan terus bekerjasama dengan pihak Polis untuk memastikan aktiviti harian di kawasan tumpuan ini sentiasa terkawal.

Tamat