Pergerakan Penduduk Pulau Gaya ke Kota Kinabalu Diperketatkan.

Fardy Bungga

asiatimeskk@gmail.com

KOTA KINABALU: Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi penduduk Pulau Gaya ke Pasar Besar Kota Kinabalu diperketatkan sebagai langkah mengawal penularan wabak Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya sudah mengeluarkan arahan untuk membenarkan hanya dua bot beroperasi bagi setiap kampung di pulau berkenaan.

Katanya, penumpang bot berkenaan pula perlu dibuat saringan oleh penghulu kampung masing-masing mengikut keperluan dan kesesuaian.

“Operasi bot terbahagi kepada dua tempoh masa iaitu enam bot untuk tiga kampung pada jam 9pagi hingga 12 tengah hari manakala enam lagi bot untuk tiga lagi kampung pada sebelah petang dari jam 2 petang hingga 5 petang.

“Bot ini hanya bergerak sekali sahaja untuk menghantar penumpang, memunggah barang dan hantar balik… hanya sekali sahaja.

“Penumpang pula hanya dibenarkan membeli keperluan asas dan perkara mendesak sahaja,” katanya ketika ditemui selepas melakukan pemantauan di Pasar Besar Kota Kinabalu pada hari pertama fasa tiga PKP.

Habibi berkata, semua elemen polis termasuk Pasukan Polis Marin (PPM) turut dikerah untuk memantau perkara ini dari semasa ke semasa.

“Kita mahu penduduk Pulau Gaya supaya sentiasa memberikan kerjasama sepanjang penguatkuasaan PKP ini.

“Fasa ketiga ini, polis amat tegaa dan terus membuat tangkapan kepada individu yang masih degil,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Habibi bersama Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman di kawasan jeti Pasar Besar Kota Kinabalu, mendapati orang ramai yang berada di jeti pasar berkenaan kelihatan teratur dan patuh kepada pematuhan.

tamat