REMAJA BELI BARANGAN RUNCIT DENGAN WANG PALSU

KUANTAN: Gara-gara membeli barangan runcit dengan menggunakan wang palsu, seorang remaja berusia 20 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan menggunakan dua keping wang kertas RM100 palsu, bulan lalu.

Tertuduh Areez Petra Tee, dari Lorong Setail, di sini, membuat pengakuan tersebut sejurus kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh, yang bekerja sebagai tukang urut, didakwa menggunakan wang palsu itu sebagai tulen di sebuah kedai runcit di Batu 5, Jalan Gambang, di sini, antara jam 4 petang 23 Mac dan 1.30 tengah hari, 7 April lalu.

Tertuduh ditangkap pada 10 April lalu selepas pemilik kedai runcit tersebut membuat laporan polis apabila menyedari wang yang diberikan tertuduh semasa membeli barang pada 23 Mac dan 7 April adalah palsu.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 489b Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksima 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan, mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Areez Petra, yang tidak diwakili peguam, merayu jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan dia berasal daripada keluarga yang susah.

“Saya hanya bekerja sendiri sebagai tukang urut dengan upah bergantung kepada pelanggan untuk membantu perbelanjaan keluarga…tapi saya sudah lama tidak mengurut disebabkan wabak COVID-19,” katanya. 

Siti Aminah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

— BERNAMA