52 Ditahan Hari Pertama PKP Fasa 3.

Fardy Bungga

asiatimeskk@gmail.com

Kota Kinabalu: Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah memasuki fasa 3, namun masih terdapat segelintir masyarakat yang masih ingkar terhadap penguatkuasaan undang-undang berkenaan.

Pelbagai alasan digunakan untuk melepaskan diri dari ditahan, namun ketegasan pihak polis terbukti dengan penahanan 52 individu pada hari pertama PKP fasa 3.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, polis yang membuat sekatan jalan melakukan pemeriksaan ketat bagi mengelakkan masyarakat mengambil kesempatan melanggar arahan PKP sesuka hati.

Katanya, sebaik memasuki fasa baru ini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu mengambil pendekatan melakukan tindakan lebih agresif berbanding sebelumnya yang hanya bersifat nasihat dan amaran.

“Buat masa ini, individu yang melanggar arahan PKP akan terus ditahan untuk siasatan sebelum dirujuk ke Mahkamah keesokkan harinya untuk pendakwaan mengikut Akta Polis dan Akta Penyakit Berjangkit.

“Kita akan bertegas dan tiada seorangpun yang akan terkecuali. Sepanjang PKP dikuatkuasakan seramai 104 individu ditahan dan sebahagian besar sudah didakwa di mahkamah,”katanya pada sidang media di pada Sekatan Jalan di Jalan Kepayan, di sini, hari ini.

Habibi berkata, pihaknya berharap masyarakat lebih peka selepas ini dan memberi kerjasama dengan duduk di rumah sehingga arahan PKP ditarik semula.

Sementara itu, Habibi memberitahu, pihaknya mengambil maklum rungutan orang ramai terhadap kesesakan yang disebabkan sekatan jalan di beberapa lokasi di daerah ini.

Katanya, IPD Kota Kinabalu mengambil inisiatif untuk memasang papan tanda sejauh 100 meter dari lokasi sekatan untuk memberi keutamaan kepada mereka yang terbabit dalam perkhidmatan perlu (essential services).

Tamat