Bayi Perempuan Lahir di Dataran Todak.

Fardy Bungga

asiatimeskk@gmail.com

KOTA KINABALU: Hari pertama penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 3, mencatatkan sejarah apabila seorang wanita terpaksa melahirkan anak perempuannya di Dataran Todak, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, Pahmah Nastih, 38, yang tinggal di Kampung Kasuapan, Pulau Gaya, dikatakan tidak sempat dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas selepas mengadu sakit perut.

Menceritakan kejadian itu, abang ipar Pahmah, Halilih Ladjahali, 50, berkata, sebelum kejadian mereka sekeluarga sedang berehat di rumah.

Bagaimanapun katanya, Pahmah tiba-tiba mengadu rasa sakit hendak bersalin sehingga memaksa dia dan isterinya mencari bot untuk menghantar adik iparnya ke Jeti Pasar Besar Kota Kinabalu.

“Sebaik tiba di jeti, saya cuba mendapatkan kenderaan untuk pergi ke HWKKS namun keadaan di kawasan itu lengang kerana tempoh PKP.

“Saya kemudiannya meminta anggota polis yang sedang bertugas di lokasi menghubungi ambulans,” katanya ketika ditemui di perkarangan HWKKS.

Menurutnya, ketika dia bersama isteri Terpaksa memapah adik iparnya menuju ke jalan utama dalam keadaan Pahmah meraung kesakitan hendak bersalin.

“Isteri saya kemudian menenangkannya dan kebetulan dua anggota polis termasuk seorang anggota wanita yang sedang membuat rondaan terus menghulurkan bantuan.

“Tidak lama selepas itu, isteri saya memaklumkan kepala bayi sudah kelihatan sambil anggota polis wanita terbabit membantu Pahmah bersalin di kawasan Dataran Todak,” katanya.

Menurutnya, beberapa minit kemudian ambulans dari HWKKS tiba dan membawa Pahmah bersama anak perempuan yang selamat dilahirkan.

“Alhamdulillah, doktor memaklumkan Pahmah dan anaknya dalam keadaan baik dan stabil,” katanya.

Sementera itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketika kejadian itu, dua anggota polis termasuk seorang anggota polis wanita sedang membuat pemantauan dan rondaan di sekitar kawasan Pasar Besar Kota Kinabalu dan Dataran Todak bagi menguatkuasakan PKP.

“Melihat situasi cemas itu, anggota polis wanita itu kemudian segera membantu dengan ditemani kakak wanita terbabit. Kita bersyukur kerana wanita itu selamat melahirkan bayinya.

“Wanita bersama anaknya kemudian dibawa menaiki ambulans untuk dihantar ke HWKKS bagi menjalani rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Habibi berkata, meskipun dalam penguatkuasaan PKP, namun sudah menjadi tanggungjawab anggota polis membantu orang awam yang dalam keadaan kesusahan lebih-lebih wanita terbabit hendak bersalin kerana mereka amat memerlukan pertolongan.

tamat