Penerima Bantuan Dinasihatkan Supaya Mengamalkan Jarak Selamat.

Photo and Video By: CV Chong

asiatimeskk@gmail.com

Kota Kinabalu: Bantuan agihan bekalan sayur yang disampaikan Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam, di empat lokasi hari ini, menarik ratusan orang awam hadir seawal jam 8 pagi tadi.

Namun disebalik pemberian sayur-sayuran secara percuma itu, apa yang membimbangkan adalah sikap orang awam yang tidak mengamalkan jarak selamat.

Tinjauan di lokasi mendapati, walaupun beberapa petugas cuba mengawal orang ramai yang hadir namun tiada inisiatif amalan pencegahan Covid-19 disediakan termasuk ujian suhu badan dan sanitasi tangan.

Acara pemberian berkenaan bagaimanapun hanya berlanjutan selama kira-kira dua jam dan orang ramai yang menerima sumbangan juga terus pulang ke rumah masing-masing.

Perkara itu jelas menimbulkan kegusaran orang ramai selepas beberapa klip video dan gambar lokasi pemberian sumbangan tular di laman sosial.

Sementara itu, Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman ketika ditemui berkata, jumlah orang awam yang terlalu ramai berkumpul dalam acara sumbangan itu membimbangkan kerana ia berpotensi menyebabkan penularan wabak Covid-19.

Katanya, orang awam yang hadir sepatutnya memastikan penjarakkan selamat antara mereka bagi mengelakkan potensi jangkitan penyakit berkenaan.

“Kita juga berharap supaya sebarang pengedaran atau pemberian sumbangan di masa akan datang dapat dilakukan dengan mengambil kira amalan kesihatan selamat.

“Ini perlu dilakukan dalam usaha kita memerangi Covid-19 sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 3 yang dilanjutkan sehingga 28 April depan,”katanya.

Nordin berkata, pihaknya tidak menghalang sebarang bentuk pemberian bantuan kepada orang ramai namun harus menuruti amalan selamat yang digariskan.

Tamat