SABAH KOMITED TERUSKAN POLISI 30 PERATUS HUTAN SEBAGAI TPA MENJELANG 2025

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah komited untuk meneruskan polisi agar kawasan hutan yang mempunyai nilai biologi yang tinggi dijadikan Kawasan Dilindungi Sepenuhnya (TPA) tidak kurang daripada 30 peratus daripada keluasan negeri menjelang tahun 2025, kata Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Beliau berkata setakat ini, keluasan hutan yang telah diisytiharkan sebagai TPA telah mencapai 1.9 juta hektar atau 25 peratus daripada keluasan negeri ini.

“Pencapaian ini menjadikan Sabah sebagai negeri yang mempunyai kawasan TPA terbesar di Malaysia. Di samping itu, kerajaan negeri juga akan meneruskan dan memperbanyakkan program-program berkaitan dengan pemulihan semula hutan dan perlindungan spesies ikonik dan unik seperti Orang Utan, gajah pygmy dan sebagainya.

 “Bagi melindungi kawasan TPA, kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Sabah telah menubuhkan skuad Enforcement, Tactical, Operational and Protection yang bertanggungjawab untuk membanteras pemburuan haram dan lain-lain jenayah hutan,” katanya.

Juhar berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan negeri sempena pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

 

Beliau berkata pada masa yang sama, kerajaan negeri juga akan mengukuhkan pelaksanaan Pengurusan Hutan Mampan dengan membuat penilaian ke atas pencapaian dan kemajuan semua pemegang lesen Pengurusan Hutan Mampan (SFMLA) untuk memastikan pemaju benar-benar komited untuk mengurus kawasan selaras dengan konsep Pengurusan Hutan Mampan untuk jangka masa panjang dan bukan hanya fokus kepada eksploitasi.

Sementara itu, Juhar berkata kerajaan Sabah juga akan meneruskan usaha untuk mengurangkan kadar kemiskinan di negeri ini dengan melaksanakan program-program peningkatan ekonomi setempat, pembinaan rumah untuk golongan termiskin, penyediaan kemudahan asas dan peningkatan kapasiti modal insan kumpulan sasar di bawah Program Mini Estet Sejahtera dan Program Kampung Sejahtera.

“Program Kampung Sejahtera bertujuan mentransformasikan kampung-kampung mundur secara holistik dengan melibatkan tiga aspek utama iaitu pembangunan modal insan, kemajuan ekonomi dan peningkatan kualiti hidup.

“Program Pelancongan Luar Bandar berasaskan ‘Community Based Tourism’,  program Rumah Sejahtera Rakyat Sabah (RSRS), program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif dan Bekalan Air Luar Bandar Alternatif juga akan dilaksanakan pada tahun ini,” katanya.

— BERNAMA