28 Ditahan Langgar PKP di Penampang.

Fardy Bungga

asiatimeskk@gmail.com

PUTATAN: 28 individu ditahan pihak berkuasa dalam tempoh tiga hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga yang dijalankan di sekitar daerah Penampang.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Haris Ibrahim berkata, 20 individu ditahan pada 16 April lalu manakala lapan lagi ditahan semalam.

Katanya, semua individu terbabit ditahan selepas didapati keluar rumah dan berada di tempat awam tanpa alasan yang munasabah.

“Semua individu ini akan disiasat mengikut Akta Polis selain Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Peraturan 11 (1) Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit 2020.

“Kita berharap orang ramai di daerah ini akan memberi kerjasama dan duduk di rumah sehingga arahan PKP ditarik balik,” katanya ketika ditemui di sekatan jalan di Jalan Lok Kawi, di sini, semalam.

Haris berkata, pihaknya mengesan ramai pengguna jalan raya yang memberikan alasan tidak munasabah ketika melalui sekatan jalan menyebabkan mereka diarahkan berpatah balik dan pulang ke rumah masing-masing.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Haris memberitahu pihaknya membuka enam kertas siasatan berhubung penipuan penjualan topeng muka dan sanitasi atas talian.

Katanya, kegiatan penipuan ini dikesan pada 15 March lalu membabitkan kerugian RM8,594 untuk topeng muka dan RM525 untuk sanitasi.

“Kita minta orang ramai supaya berhati-hati apabila berurusan di atas talian untuk mengelakkan daripada tertipu,”katanya.

Tamat