Warga Emas Ditemui Tinggal Tulang.

Fardy Bungga

asiatimeskk@gmail.com

Beaufort: Seorang lelaki terkejut selepas melihat abang kandungnya yang tinggal sebatang kara ditemui tinggal rangka di rumahnya, Batu 3, Kampung Padas Valley, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, lelaki berusia 65 tahun terbabit dikatakan pergi ke rumah abangnya kira-kira 50 meter dari rumahnya untuk menghantar makanan.

Bagaimanapun, sebaik masuk ke rumah berkenaan ke rumah, dia terkejut apabila melihat mayat tinggal rangka yang dipercayai abang kandungnya.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, mangsa yang dikenali Phong Yet Ming, 75, dikatakan mengalami masalah mental sejak puluhan tahun lalu.

Katanya, mangsa tidak pernah mendapatkan rawatan dari mana-mana hospital dan tidak pernah memperbaharui kad pengenalannya.

“Siasatan mendapati si mati tinggal bersendirian di rumahnya sejak lebih 30 tahun lalu. Jarak rumah pengadu dengan mangsa berhampiran, namun diliputi hutan.

“Kali terakhir pengadu berjumpa dengan si mati adalah pada dua minggu lalu ketika menghantar bekalan makanan,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Azmir berkata, pasukan Forensik dari Kementerian Kesihatan Beaufort sudah dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu siasatan.

Katanya, antara yang ditemui di tempat kejadian ialah tengkorak, tulang tangan dan tulang kaki. Semua yang diambil kemudiannya di bawa Hospital Beaufort untuk dianalisa.

“Tidak diketahui keadaan kesihatannya sebelum ditemui mati kerana mangsa hanya mahu menemui pengadu seorang saja.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,”katanya.

Tamat