GURU KOLEJ VOKASIONAL KENINGAU BERJAYA RAIH GERAN PENYELIDIKAN SEAQIS

KOTA KINABALU: Kajian penyelidikan guru sains Kolej Vokasional Keningau, PJ Ape Angat, berjaya meraih geran penyelidikan dari SEAQIS (SEAMEO QITEP in Science – Southeast Asian Ministers of Education Organization, Quality Improvement of Teachers and Education Personnel, in Science) di peringkat Asia Tenggara, bernilai USD350.

Pengarah Kolej Vokasional itu Johari@Jaibet Sabin dalam kenyataan di sini hari ini berkata kajian bertajuk “memperkembangkan bahan dan kaedah pengajaran THAMES di kalangan golongan muda” merupakan satu-satunya kajian dari negara ini yang diberikan geran berkenaan.

Beliau berkata THAMES adalah akronim bahasa Inggeris yang merujuk kepada pembelajaran teknologi, matematik, kejuruteraan, sains dan seni melalui aktiviti praktikal.

“Objektif kajian ini adalah untuk meningkatkan penguasaan pelajar dalam kelima-lima bidang itu melalui aktiviti yang menggalakkan mereka meneroka, mencipta dan melakar,” katanya.

Johari berkata SEAQIS merupakan salah satu badan di bawah pertubuhan menteri pendidikan yang mengendalikan latihan pendidikan dalam bidang sains berpusat di Bandung, Indonesia.

Katanya nama PJ Ape tersenarai antara 40 penerima geran penyelidikan itu yang diumumkan di laman web SEAQIS semalam.

“Kajian ini sejajar dengan konsep pembelajaran pelajar kolej vokasional yang lebih cenderung kepada pembelajaran berbentuk amali,” katanya.

— BERNAMA