14,414 PERMOHONAN BANTUAN PENDUDUK SABAH DI SEMENANJUNG DIPROSES

KOTA KINABALU : Pejabat Perhubungan Negeri Sabah di Kuala Lumpur telah memproses sebanyak 14,414 permohonan bantuan COVID-19  bagi warga Sabah golongan B40 yang bekerja di Semenanjung.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, berkata kesemua permohonan berkenaan adalah yang direkodkan sehingga semalam dan jika layak akan menerima bantuan RM300 secara sekali bayar.

 “Daripada jumlah itu sebanyak 11,347 permohonan telah dibayar dan dikreditkan melalui akaun masing-masing dan 35 permohonan telah dibayar secara tunai.

“Selain itu, sejumlah 1,606 pemohonan  telah ditolak kerana tidak memenuhi syarat B40 dan 1,426 pemohonan lagi sedang dalam proses kerana masalah nombor akaun yang tidak lengkap dan tidak aktif,” katanya, dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata permohonan bantuan COVID-19 secara dalam talian melalui portal https://bantuan.covid19.sabah.gov.my juga dalam proses penyemakan dan pemohonan yang layak sedang dalam proses pembayaran.

—Bernama