FGV SOKONG USAHA KERAJAAN SABAH KEKANG COVID-19 DI WILAYAH SAHABAT

KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd (FGV) memberikan komitmen penuh menyokong usaha kerajaan Sabah dalam mengekang penularan COVID-19 di Wilayah Sahabat, Lahad Datu susulan kes positif wabak itu di kawasan tersebut.

Ia berkata sokongan itu diberikan menerusi pematuhan prosedur operasi standard yang radikal dan tegas di semua ladang dan kilang untuk memastikan risiko terhadap keselamatan dan kesihatan semua petugas berada pada tahap minimum.

“FGV ingin mengesahkan bahawa tiada petugas di Wilayah Sahabat, Lahad Datu positif COVID-19.

“FGV menegaskan semula bahawa keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan para petugas dan pekerja adalah paling utama, dan akan terus waspada dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Syarikat itu berkata demikian bagi mengulas kenyataan bertarikh 18 April, 2020 yang dikeluarkan ketua polis daerah Lahad Datu bahawa pihaknya meningkatkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Wilayah Sahabat berikutan kes positif COVID-19 positif di kawasan tersebut.

FGV berkata sejak penularan wabak itu, pihaknya telah menubuhkan Jawatankuasa Pasukan Petugas COVID-19 dan melaksanakan langkah pencegahan di seluruh operasinya.

Susulan pengumuman terkini daerah Lahad Datu sebagai kawasan zon merah, FGV telah mengambil beberapa langkah proaktif di Wilayah Sahabat selaras dengan garis panduan Kementerian Kesihatan, menurutnya.

“Semua pergerakan dalam operasi Wilayah Sahabat FGV dikawal dan dipantau dengan ketat.

“FGV bekerjasama rapat dengan pihak polis dan telah menggunakan pasukan Polis Bantuan FGV untuk memastikan pematuhan ketat terhadap perintah kawalan pergerakan kerajaan negeri,” kata FGV.

Ia berkata Wilayah Sahabat FGV mempunyai kawasan seluas 115,432 hektar ladang, yang terdiri tujuh kilang dan 48 estet.

“FGV secara sukarela menghentikan operasi lima kilang di kawasan itu,” menurutnya.

FGV berkata di dua daripada lima kilang tersebut, empat petugas telah dikuarantinkan sebagai pesakit di bawah siasatan (PUI) manakala tiga kilang lagi telah ditutup sebagai langkah berjaga-jaga kerana berdekatan dengan operasi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang terjejas.

Syarikat memberikan kerjasama penuh kepada Kementerian Kesihatan serta dengan segera menasihati para petugas dan anggota keluarga mereka untuk menjalani ujian sekiranya menjadi kontak rapat dengan pesakit positif COVID-19 dalam tempoh 14 hari lepas terutamanya di Wilayah Sahabat, katanya.

— BERNAMA