Bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum Menyumbangkan Roti Kepada PDRM.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum menyumbangkan roti kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah untuk petugas sekatan jalan raya.

Difahamkan, Pengerusi Kim Teck Cheong Consolidated Bhd (KTC) itu sudah menyampaikan sebanyak 10,000 roti sejak minggu lalu untuk petugas Op Covid-19.

Pengarah Eksekutif KTC, Dexter Lau berkata, sumbangan berkenaan adalah sebagai tanda penghargaan kepada pasukan keselamatan negara yang juga barisan hadapan menentang Pandemik Covid-19.

Katanya, walaupun terdapat sedikit gangguan bekalan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun, usaha berterusan daripada PDRM memastikan perniagaan mereka semuanya berjalan lancar.

“Kita amat menghargai sumbangan barisan hadapan negara, tanpa mereka keadaan mungkin lebih membimbangkan,”katanya ketika ditemui selepas penyampaian sumbangan di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah, hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Mazli Mazlan yang mewakili PDRM Sabah menerima sumbangan itu berkata, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tan Sri Richard dan KTC Consolidated Bhd kerana bermurah hati menyumbangkan roti yang segar kepada petugas Covid-19z

“Ini adalah salah satu tanda penghargaan masyarakat terhadap PDRM dan barisan hadapan negara berdepan Covid-19,”katanya.

Sementara itu, mengulas pendekatan Polis Sabah yang mengawal dan menghadkan pergerakan orang ramai dari daerah lain ke Kota Kinabalu, Mazli berkata ia adalah satu pendekatan holistik PKP.

Katanya, ini memandangkan daerah Kota Kinabalu sudah diisytiharkan sebagai zon merah pandemik Covid-19, tiga hari lalu.

“Ini berkaitan dengan penetapan Kota Kinabalu sebagai zon merah, kita cuba mengawal sebanyak mana pergerakan orang awam ke kawasan bandar Kota Kinabalu bagi mengekang sebarang penularan wabak Covid-19.

“Ia salah satu cara bagaimana kita mengekang atau menghalang kemasukan orang ramai ini ke Kota Kinabalu atas alasan mahu ke pasar ikan dan pasar sayur. Sebaliknya bekalan itu ada di tempat mereka,” katanya.

Mazli turut mengakui penambahan sektor perkhidmatan perlu (essential service) yang diumumkan kerajaan negeri baru-baru ini telah menyebabkan peningkatan jumlah pengguna jalan raya di seluruh negeri.

“Kita cuba mengawal jumlah itu daripada semakin meningkat dengan mengadakan penambahan sekatan jalan raya dan snap check setiap masa,” katanya.

tamat