Seorang Penghantar Dadah Dan Tujuh Penagih Ditahan.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Sipitang: Polis daerah ini berjaya menahan seorang penghantar dadah dan tujuh lagi individu yang disyaki penagih dadah, Jumaat lalu.

Semua suspek berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun itu berjaya ditahan berikutan tertangkapnya lelaki penghantar dadah yang dipercayai menggunakan kaedah ‘cash on delivery’ (COD) atau bayar selepas terima.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, ketika tugasan pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Op Covid-19, di Batu 1, Jalan Sipitang -Sindumin, di sini, polis menahan sebuah motosikal yang ditunggang lelaki berusia dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati suspek menjalankan aktiviti mengedar dadah di sekitar daerah ini.

“Suspek dipercayai bertindak menghantar pesanan yang dipesan lalu menghantar ke lokasi yang dijanjikan.

“Berikutan tertangkapnya suspek terbabit, polis berjaya menahan tujuh lagi lelaki disyaki penagih dadah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Champin berkata, semua suspek lain ditahan ketika merayau-rayau di kawasan berhampiran suspek pertama ditahan termasuk di kawasan Mesapol.

“Semua suspek ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 selain disiasat mengikut Seksyen 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana melanggar arahan tanpa alasan yang munasabah,”katanya.

Menurutnya, semua yang ditahan didapati berlegar-legar di tempat awam dan boleh menyebabkan mudarat terhadap masyarakat sekitar ekoran wabak Covid-19 yang kini sedang menular.

“Oleh itu, mohon masyarakat di daerah ini supaya patuh arahan PKP fasa tiga kerana polis akan bertindak tegas menangkap sesiapa saja yang melanggar perintah ini,” katanya.

Tamat