Perketat Rondaan PKP Untuk Penduduk Pulau Gaya.

Fardy Bungga

asiatimerp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Polis daerah ini akan terus memperkemaskan rondaan sekitar Pulau Gaya  bagi memastikan penduduk di pulau berkenaan patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan berkata, penduduk di sekitar Pulau Gaya diminta supaya mengikuti arahan PKP yang memasuki fasa tiga sepenuhnya bagi mengelak penularan wabak COVID-19 ini.

Katanya, beliau bersama Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji serta Pasukan Polis Marin (PPM) mengadakan rondaan di kawasan Pulau Gaya, hari ini, dan mendapati pematuhan PKP penduduk pulau berkenaan semakin baik.

“Kita dapati pergerakan penduduk sudah mulai berkurangan dan rata-rata duduk dirumah masing-masing. Mungkin ada dua tiga bot kecil yang kita benarkan untuk melakukan aktiviti memancing di kawasan pulau berkenaan.

“Jadi ini menunjukkan pematuhan PKP ini oleh penduduk di Pulau Gaya semakin bertambah,” katanya ketika ditemui media di Pangkalan PPM Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Sebelum ini, pihak berkuasa membenarkan hanya dua bot beroperasi bagi setiap kampung di Pulau Gaya dimana terdapat enam buah kampung di pulau berkenaan.

Operasi bot terbahagi kepada dua tempoh masa iaitu enam bot untuk tiga kampung pada jam 9 pagi hingga 12 tengah hari manakala enam lagi bot untuk tiga lagi kampung dari jam 2 petang hingga 5 petang dan bot ini hanya bergerak sekali sahaja untuk menghantar penumpang, menunggu dan balik semula.

Mengulas lanjut, Mazli berkata, pihaknya berharap tiada lagi kejadian tangkapan membabitkan penduduk di Pulau Gaya selepas ini.

“Setakat ini kita membuat rondaan di perairan Pulau Gaya dan kawasan jeti Sabah Fish Marketing (SAFMA) untuk melihat sekirannya ada pergerakan-pergerakan yang melanggar PKP.

Pada 6 April lalu, seorang lelaki tanpa identiti dipercayai warga asing yang ditemui tergantung di pokok di kawasan Kampung Pondo, Pulau Gaya, disahkan positif COVID-19 pada 11 April lalu.

Susulan itu, pihak berkuasa menghadkan pergerakan keluar masuk penduduk Pulau Gaya ke Kota Kinabalu.

tamat