Bosan PKP, Sekumpulan Lelaki Bermain Sabung Ayam Dan Judi Ketam-Ketam.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Tenom: Walaupun menyedari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dikuatkuasakan, sekumpulan lelaki yang mengaku bosan duduk di rumah nekad ingkar arahan dengan keluar rumah dan bermain sabung ayam serta judi ketam-ketam.

Bagaimanapun tindakan mereka itu akhirnya membawa padah apabila diserbu sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom, dalam kejadian di sebuah kebun di Kampung Mampusu, di sini, jam 2.50 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, sebaik tiba di lokasi itu, polis mendapati sekumpulan 10 hingga 15 lelaki sedang berkumpul dipercayai sedang ‘bermain’ aktiviti sabung ayam.

Ketua Polis Daerah Tenom Deputi Superintendan Hasan Majid

Namun katanya, sebaik menyedari kehadiran polis, kumpulan lelaki terbabit terus lari bertempiaran cuba melepaskan diri dari ditahan pihak berkuasa.

“Tindakan cekap polis yang melakukan operasi berjaya menahan tiga lelaki berusia 55 hingga 80 tahun bersama ayam yang dibawa untuk aktiviti berkenaan.

“Pasukan Polis yang diketuai Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tenom Inspektor Mohd Roezaidie kemudiannya membawa semua suspek dan rampasan balik ke IPD Tenom,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hasan berkata, hasil pemeriksaan terhadap salah seorang suspek turut menemui peralatan perjudian ketam-ketam.

“Siasatan awal mendapati semua suspek yang ditahan mengaku terbabit aktiviti sabung ayam dan judi ketam-ketam untuk menghilangkan perasaan bosan duduk di rumah.

“Selain melakukan aktiviti sabung ayam dan judi ketam-ketam, tangkapan juga didapati ingkar arahan PKP,”katanya.

Hasan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Selain itu katanya, semua suspek turut ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Peraturan 11 (1) Peraturan – Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan (No.3) 2020.

Tamat