14 Individu Termasuk Lapan Pelajar Sekolah Ditahan Berjudi.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Lahad Datu: Seramai 14 individu termasuk lapan pelajar sekolah ditahan selepas disyaki menjalankan kegiatan perjudian di sebuah rumah tidak bernombor, di Kampung Teck Guan, Jalan Segama, di sini, Jumaat lalu.

Dalam serbuan jam 10 malam itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu berjaya menahan 13 lelaki dan seorang perempuan berusia lingkungan 13 hingga 26 tahun.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, ketika serbuan, pihaknya turut berjaya merampas peralatan yang digunakan dalam kegiatan perjudian berkenaan.

Katanya, selain ditahan kerana berjudi, semua individu berkenaan turut didapati berhimpun tanpa sebarang alasan munasabah dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Antara yang dirampas adalah wang tunai RM7 yang digunakan dalam aktiviti perjudian berkenaan bersama 56 keping Kad Domino dan 52 keping Daun Kartu.

“Semua tangkapan dan rampasan kemudianya dibawa balik ke IPD Lahad Datu untuk tindakan lanjut,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Nasri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11 PPPPPB (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.3) 2020.

Sementara itu, dalam penguatkuasaan terhadap individu yang masih berdegil terhadap pelaksanaan PKP, IPD Lahad Datu berjaya menahan 20 lelaki dan empat wanita dalam tempoh 25 hingga 26 April lalu.

Nasri berkata, sebanyak enam kertas siasatan dibuka atas kesalahan ingkar terhadap PKP membabitkan individu berusia 13 hingga 48 tahun.

Katanya, antara pesalah yang ditahan adalah pembantu kedai, penganggur dan penjual rokok seludup yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan ketika ini berikutan harga melambung tinggi.

“Selain itu, polis turut menahan seorang lelaki warga Filipina berusia 39 tahun kerana memiliki senapang angin di kawasan Ladang Sawit Kampung Sri Darun, Tungku, di sini.

“Kes berkenaan disiasat Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Nasri berkata, bagi kesalahan ingkar PKP pula disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No.3) 2020.

Tamat