Dua Tokan Syabu Dicekup.


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Kecekapan pasukan polis menjalankan rondaan dan snap check berjaya membawa kepada penahanan ‘tokan’ dadah, dalam pemeriksaan di Jalan Kopungit, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, kedua-dua lelaki berusia 30-an yang mengaku baru selesai dari menghadiri majlis kenduri di Papar ditemui bersama bekalan syabu dan peralatan menagih dadah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketika ditahan, polis turut menemui alat penimbang yang dipercayai untuk digunakan bagi urusniaga dadah berkenaan.

Katanya, kedua-dua lelaki terbabit kemudiannya terus ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.

“Walaubagaimanapun, sebaik pemeriksaan lanjut dilakukan, polis menemui tiga lagi paket plastik berisi ketulan hablur dipercayai dadah diselitkan di seluar dalam salah seorang suspek.

”Dadah yang dirampas adalah seberat 16.36 gram yang dianggarkan bernilai RM2,454 berdasarkan harga pasaran semasa,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Habibi berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis Methaphetamine dan mereka kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 12(2) akta yang sama.

Sehubungan itu, Habibi berkata, kejayaan ini adalah hasil maklumat awam berhubung sarang penagihan dadah untuk memastikan kegiatan tidak bermoral ini dapat dibendung sepenuhnya.

Katanya, tangkapan juga dapat membantu mengenalpasti ahli sindiket pengedaran dadah yang wujud.

“Usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa menerusi operasi berterusan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Kota Kinabalu,”katanya.

Tamat