MEF HARAP KERAJAAN BENARKAN SYARIKAT KECIL BEROPERASI SECARA BERPERINGKAT SEMASA PKP

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berharap kerajaan membenarkan syarikat terutamanya syarikat kecil untuk beroperasi semula secara berperingkat semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menggerakkan semula ekonomi.

Pengarah Eksekutif MEF  Datuk Shamsuddin Bardan berkata buat masa ini keupayaan majikan untuk menanggung gaji pekerja tanpa sebarang pendapatan adalah amat mencabar kerana kebanyakan syarikat di Malaysia adalah syarikat kecil yang mempunyai kurang daripada lima pekerja.

Beliau berkata pelaksanaan PKP memberi kesan terhadap lebih 650,000 majikan di seluruh negara ketika ini kerana mereka tidak mempunyai simpanan atau dana yang besar.

“Adalah lebih elok syarikat-syarikat dibenarkan beroperasi semula …bukan 100 peratus tetapi secara peringkat demi peringkat. Misalnya satu pertiga dulu, kalau ia berjaya, ia boleh ditingkatkan kepada 50 peratus dan seterusnya,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama TV di saluran Astro 502.

 Beliau juga berharap kerajaan tidak mengenakan prosedur yang menyukarkan syarikat yang memohon untuk beroperasi ketika PKP kerana ia akan menimbulkan masalah birokrasi sekali gus melambatkan syarikat untuk memulakan operasi.

“Keupayaan mereka (syarikat) untuk bertahan terhakis dan saya merasakan adalah penting kerajaan membenarkan syarikat-syarikat beroperasi untuk memulakan ekonomi. Kita harus mengimbangi keselamatan dan kesihatan pekerja, apa yang mereka dapat dari segi ekonomi, jadi kalau mereka tak bekerja sekian lama, tentu majikan mendapati amat sukar untuk bayar gaji,” tambahnya.

Menurut Shamsuddin, kebenaran beroperasi semula boleh diberikan kepada semua sektor swasta kecuali yang melibatkan perhimpunan pekerja yang terlalu ramai.

Untuk permulaan, MEF meminta kerajaan membenarkan syarikat beroperasi semula dengan 30 peratus pekerja serta mengamalkan prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, katanya.

Dalam pada itu, katanya MEF menggesa kerajaan agar menetapkan satu tempoh tetap bagi pelaksanaan PKP yang dikuat kuasakan 18 Mac lepas dan dilanjutkan ke 12 Mei ini bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Beliau berkata dasar kerajaan ketika ini yang mengumumkan lanjutan PKP pada setiap dua minggu, telah menyukarkan majikan dalam membuat perancangan untuk beroperasi semula.

“Jika dinyatakan sekali gus berapa lama PKP akan dilaksanakan, lebih senang untuk buat perancangan di sektor swasta …kita sebenarnya tidak membantah PKP,” katanya.

— BERNAMA