SEBUAH RUMAH DI KAMPUNG KETIAU MUSNAH TERBAKAR

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Litar pintas dipercayai punca sebuah rumah di Kampung Ketiau, Jalan Tombovo, Putatan, di sini, musnah terbakar.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis tidak kekal dua tingkat.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.40 pagi sebelum mengerahkan dua jentera dan sebuah ambulan ERMS bersama 12 anggota dan pegawai ke lokasi kejadian.

Katanya, operasi turut dibantu sebuah jentera pemadam api dan enam anggota dari Pasukan Bomba Kem Tentera Darat Lok Kawi.

“Sebaik tiba di lokasi, api masih membakar sebahagian besar rumah malang berkenaan dan operasi pemadaman segera dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 70 meter dengan tiga pancutan air dari jentera.

“Api bagaimanapun dapat dikawal pada jam 12.31 tengah hari sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.18 petang selepas dipastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetus kebakaran semula di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, rumah berkeluasan 140 meter persegi itu musnah 100 peratus namun tiada mangsa dilaporkan cedera ataupun meninggal dunia.

Katanya, bahagian Forensik JBPM masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenalpasti punca dan jumlah kerugian dalam insiden berkenaan.

Tamat