TLDM TUBUH PUSAT KUARANTIN SEBAGAI LANGKAH KEKANG COVID-19

KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengambil insiatif menubuhkan beberapa pusat kuarantin sebagai langkah mengekang penularan wabak COVID-19 dalam kalangan warganya.  

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata pusat kuarantin itu diwujudkan khusus untuk warga TLDM yang mempunyai simptom COVID-19 dan mereka ini akan diletakkan di bawah pengawasan untuk saringan kesihatan.

Beliau berkata antara lokasi pusat kuarantin adalah di Bangunan A 33 bagi warga yang berada di sekitar Pangkalan TLDM Lumut, Perak dan Bangunan 4 Transit Pulau Uda di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah. 

“Kewujudan pusat kuarantin ini adalah amat penting dalam memastikan kemungkinan jangkitan COVID-19 dan ia dapat dikawal dengan sebaiknya.

“Berdasarkan statistik semasa kes positif COVID-19, ianya menunjukkan tiada pesakit COVID-19 daripada warga TLDM dan juga keluarga sejak 3 April yang lalu dan keadaan ini harus dikekalkan sebaiknya,” katanya dalam perutusan sempena Hari Ulang Tahun TLDM Ke-86 bertemakan ‘Armada Siaga, TLDM Perkasa’ hari ini.

Beliau mengingatkan warga TLDM untuk melaksanakan langkah pencegahan dan pengesanan awal COVID-19 bagi memastikan mereka bebas daripada jangkitan wabak itu. 

“Saya juga berharap agar setiap warga menjaga sensitiviti dan tidak menyalahgunakan media sosial sebagai medium penyebaran maklumat yang tidak sahih atau palsu,” katanya. 

Mohd Reza berkata meskipun berdepan ancaman COVID-19, operasi TLDM iaitu penugasan aset di laut meliputi rondaan dan pemantauan masih dilaksanakan secara 24 jam seminggu tanpa kompromi.  

“Operasi juga sedang giat dirancang bagi menghalang sebarang kemungkinan kemasukan pendatang tanpa izin khususnya di kala semua negara sedang dilanda kemelut COVID-19 ini.

“Aset-aset TLDM perlu sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk diatur gerak pada ketika ini memandangkan peratus kebarangkalian kemasukan pendatang tanpa izin adalah tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 1,200 anggota TLDM terlibat menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi Op Penawar dengan mereka ditugaskan di sekatan jalan raya serta rondaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

“Sebagai barisan hadapan, TLDM memainkan peranan penting bagi membantu kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian pandemik ini dan saya menyeru agar warga TLDM kekal fokus dengan tugas dan tanggungjawab masing-masing,” katanya. 

— BERNAMA