45 Kes Babitkan 55 Tangkapan Sepanjang PKP. -PPM

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan seramai 55 individu di perairan negeri ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, 18 Mac lalu.

Semua penahanan berkenaan membabitkan 45 kes tangkapan atas pelbagai akta kesalahan termasuk perlanggaran arahan PKP, Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan penyeludupan.

 

Komander PPM Wilayah Empat Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, tangkapan terbaru dilakukan di daerah Tawau hari ini, apabila PPM berjaya menahan empat individu warganegara Filipina.

Katanya, semua individu berkenaan gagal menunjukkan dokumen diri yang sah dan mereka terus ditahan untuk siasatan.

“Selain tidak memiliki dokumen pengenalan diri, keempat-empat individu ini turut ditahan atas dasar memancing di laut ketika pelaksanaan PKP.

“Semua individu terbabit kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama bot yang dirampas untuk siasatan lanjut,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan dan pemantauan di Perairan Kota Kinabalu, petang semalam.

Sementara itu, Mohamad Pajeri berkata, tinjauan yang dijalankan di perairan Kota Kinabalu mendapati penduduk Pulau Gaya dan komuniti maritim lain mematuhi arahan PKP.

“Petang ini kita berkesempatan membuat tinjauan di kawasan perairan Kota Kinabalu untuk melihat sejauh mana PKP ini dipatuhi oleh penduduk Pulau Gaya dan juga pengguna maritim.

“Dan setakat ini, saya amat berpuas hati (pematuhan) terutamanya penduduk Pulau Gaya yang mematuhi PKP sepanjang pelaksanaannya,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Pajeri menegaskan PPM akan memberi komitmen terbaik

kepada kerajaan untuk meneruskan penguatkuasaan PKP di perairan Sabah khususnya.

Katanya, PPM juga sudah merangka operasi sempena Ramadan dan Aidilfitri dengan menempatkan kira-kira 42 peronda di seluruh perairan Sabah dengan kekuatan lebih kurang 600 anggota.

“Saya percaya insyaAllah dengan adanya komitmen dalam kalangan pasukan polis Marin khususnya, perairan Sabah akan dapat dikawal dengan selamat,”katanya.

Tamat