JKNS Tegaskan Pelajar Perlu Jalani Saringan Kesihatan dan Kuarantin.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menetapkan setiap pelajar Sabah yang balik ke negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Chistina Rundi berkata, perkara itu diwajibkan walaupun mereka tidak menunjukkan sebarang simptom jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun katanya, bagi pelajar yang mempunyai simptom seperti demam, batuk, selsema dan simptom berkaitan pula akan terus dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan dan tindakan selanjutnya.

“Setiap pelajar atau orang awam yang kembali ke Sabah perlu mengisi borang Pengisytiharan bagi memudahkan pemantauan dan kawalan.

“Mereka juga akan melalui saringan kesihatan di pintu masuk sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA),” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, semalam.

Sehubungan itu, Dr Christina memberitahu orang ramai atau pelajar yang ingin membuat sebarang pertanyaan boleh menghubungi Unit CPRC Sabah, JKNS di talian 088-219455 atau menghantar emel kepada jknsbh.cdc@moh.gov.my.

Katanya, JKNS akan terus memantau perkembangan wabak Covid-19 selain memastikan penularannya dapat dibendung.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan pelajar yang berada di institusi pengajian tinggi dibenarkan pulang kampung halaman masing-masing secara berperingkat bermula Isnin.

Tamat