Kilang Papan Kayu Perabot Musnah

Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com

Papar: Sebuah kilang papan kayu perabot di Batu 1, Taman Green Field, di sini, musnah terbakar malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, bangunan kilang jenis tidak kekal berkeluasan 446 meter persegi berkenaan terbakar 100 peratus.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.55 malam daripada orang awam di tempat kejadian.

Katanya, dua jentera dan sebuah kenderaan utiliti kemudiannya dikerah bersama 18 anggota dan pegawai ke lokasi kejadian yang terletak tiga kilometer dari Balai Bomba.

“Operasi yang turut dibantu Balai Bomba Kimanis itu terpaksa menggunakan tiga aliran sepanjang 152 meter dengan empat pacutan.

“Setakat ini, tiada kecederaan ataupun kemalangan jiwa dilaporkan dan api berjaya dikawal pada jam 11.02 minit malam,”katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, lewat malam tadi.

Menurutnya, maklumat terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa dan setakat ini Bahagian Forensik JBPM masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam insiden ini.

Tamat