Maritim Malaysia Rampas 210 Karton Rokok Seludup.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Semporna berjaya mematahkan cubaan membawa masuk 210 karton rokok pelbagai jenama yang dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan, semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, semua rokok berkenaan cuba diseludup masuk menggunakan sebuah bot di perairan Singamata, Pulau Bum Bum.

Namun usaha penyeludup berkenaan tidak kesampaian apabila berjaya dikesan bot ronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Norrimi Hassan berkata, sebaik mengesan kehadiran bot yang bergerak dalam keadaan mencurigakan itu, pasukan Maritim Malaysia terus cuba mengekori bot berkenaan untuk pemeriksaan.

Namun katanya, bot penyeludup berkenaan yang sedar diekori pihak berkuasa terus bergerak menuju ke kawasan Pondohan, di Perairan Singamata, kira-kira 0.5 batu nautika utara, Pulau Bum Bum.

“Ketika diekori, bot berkenaan kelihatan merapati sebuah pondok di kawasan itu sebelum bergegas meninggalkan tempat kejadian.

“Bot itu kemudiannya berjaya melepaskan diri dan gagal dikesan anggota Maritim Malaysia,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Norrimi berkata, bot ronda Maritim Malaysia terus melakukan pemeriksaan di pondok berkenaan dan menemui beberapa bungkusan kotak yang berisi muatan rokok pelbagai jenama yang dipercayai disimpan sebelum dijual.

Katanya, semua barang rampasan dibawa ke jeti Kem Azumi dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM 39,800 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya.

Sehubungan itu, Norrimi menegaskan Maritim Malaysia akan terus menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang di perairan Semporna.

Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi terus di talian 089-782619 pusat operasi Maritim Malaysia Semporna atau di talian MERS 999 untuk sebarang kejadian kecemasan.

Tamat