Wanita Halang Tugas Polis Ditahan

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Penampang: Seorang wanita yang bertindak biadap terhadap pihak berkuasa selepas ditegur dalam pemeriksaan Op Covid-19 di kawasan kedai di Taman Ketiau, di sini, ditahan polis, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.25 petang itu, wanita berusia 28 tahun itu dikatakan memarahi pegawai dan anggota polis apabila diarahkan beredar selepas dia ditemui berborak bersama beberapa individu lain di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, wanita berkenaan terus berkeras  sebelum akhirnya ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menghalang tugas polis.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, ketika sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menjalankan tugas pemantauan di kawasan berkenaan, mereka menemui wanita terbabit berborak dengan beberapa individu.

Katanya, menyedari wujudnya keadaan perlanggaran jarak sosial, anggota polis kemudiannya bertindak mengarahkan mereka supaya pulang ke rumah masing-masing.

“Selang beberapa minit selepas anggota polis selesai membuat rondaan di kawasan sekitar, wanita itu masih lagi belum pulang dan berada ditempat yang sama.

“Suspek (wanita) itu kemudian memarahi pihak polis supaya tidak mencampuri urusannya,” katanya kepada media ketika ditemui selepas selesai berbuka puasa bersama anggota dan pegawai IPD Penampang di sekatan jalan raya di Jalan Penampang Bypass, semalam.

Mohd Haris berkata, suspek kemudian ditahan kerana ingkar arahan PKP Covid-19 dan cuba menghalang tugas penjawat awam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Setakat ini, IPD Penampang menahan seramai 90 individu yang kerana ingkar PKP dan kita akan mengambil tindakan lebih tegas lagi terhadap mana-mana individu yang ingkar dan tidak mematuhi arahan yang ditetapkan.

“Oleh itu, mohon kerjasama masyarakat di daerah ini supaya sentiasa berada di rumah seterusnya mengelak dikenakan tindakan,” katanya.

tamat