Dua Ditahan Curi Jubin

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Tindakan cekap pasukan polis menjalankan siasatan berjaya membawa kepada penahanan dua lelaki yang dikenalpasti mencuri enam kotak jubin dari sebuah rumah, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 9.50 itu, kedua-dua lelaki yang menaiki kereta Isuzu Invader ditahan di tepi Jalan Kendara, Kampung Nosoob, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, tangkapan berjaya dilakukan hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan pihaknya.

Katanya, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek menceroboh masuk ke sebuah rumah, di sini, dan seterusnya mencuri enam kotak jubin yang disimpan di rumah berkenaan.

“Pemeriksaan terhadap kenderaan yang dinaiki kedua-dua suspek turut berjaya menemui semula enam kotak jubin yang dicuri.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Habibi berkata, kedua-dua suspek turut disiasat mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Jangkitan Tempatan) No.3, 2020 kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehubungan itu, Habibi memberitahu pihak polis akan terus berusaha meningkatkan operasi dari semasa ke semasa bagi mengekang berlakunya jenayah di daerah ini.

Katanya, orang ramai juga dialu-alukan supaya menyalurkan maklumat berkaitan kes jenayah untuk tindakan dan pembanterasan berterusan.

Tamat