Empat Lot Kedai Musnah Terbakar

Fardy Bungga

asiatimesrp.com.my

Semporna: Empat peniaga kedai di Kampung Pinang Kalimpang, di sini, mengalami kerugian selepas lot kedai perniagaan mereka musnah terbakar, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, kebakaran membabitkan bangunan kedai lima pintu sederet namun hanya satu pintu berjaya diselamatkan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.11 pagi.

Katanya, dua jentera dan sebuah kenderaan utiliti dikerah bersama 16 anggota dan pegawai ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 60 kilometer dari Balai Bomba Semporna.

“Sebaik tiba, api didapati sedang marak membakar empat daripada lima premis di bangunan berstruktur simen berkenaan.

“Operasi pemadaman segera dijalankan menggunakan tiga pancutan dari dua aliran sepanjang 70 meter,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sebanyak 4 lot telah musnah terbakar 100% dan satu lot berjaya diselamatkan daripada terbakar.

Pasukan Bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan 2 aliran 200’, 3 pancutan sumber air daripada tangki jentera.

Menurutnya, api kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.54 pagi dan hanya satu lot kedai dapat diselamatkan.

Katanya, operasi berjaya ditamatkan pada jam 11.22 pagi selepas dipastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam insiden kebakaran ini.

“Setakat ini Bahagian Forensik JBPM masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam insiden ini,” katanya.

Tamat